Tip:
Highlight text to annotate it
X
Apabila dewasa, saya mengkaji otak
kerana saya mempunyai seorang abang yang menghidapi penyakit otak:
skizofrenia. Dan sebagai seorang adik perempuan
dan kemudian, sebagai seorang ahli sains, saya ingin memahami kenapa
saya boleh ambil impian saya, dan sambungkan
ia kepada kenyataan, dan menjadikan impian saya suatu kenyataan
Kenapa dengan otak abang saya dan
skizofrenianya sehingga dia tidak dapat menyambungkan
impiannya kepada kenyataan yang dikongsi bersama, jadi
sebaliknya ia menjadi delusi (khayalan)?
Jadinya saya telah memilih kerjaya untuk mengkaji
beberapa penyakit mental. Saya berpindah dari tempat asal saya
di Indiana ke Boston, di mana saya bekerja di dalam
makmal Dr. Francine Benes, di Bahagian
Psikiatri Harvard. Di dalam makmal, kami bertanya soalan,
"Apakah perbezaan biologi antara otak individu
yang didiagnosis sebagai normal,
dibandingkan dengan otak individu yang didiagnosis dengan
skizofrenia, skizoafektif atau kecelaruan bipolar?"
Jadinya kami membuat peta sambungan
otak: sel mana yang berhubung dengan
sel mana, dengan bahan kimia mana, dan
berapa jumlah bahan kimia berkenaan?
Jadinya hidup saya amat bererti kerana saya menjalankan
kajian sebegini pada waktu siang hari.
Tetapi pada waktu malam dan hujung minggu,
saya berkembara sebagai penyokong NAMI, Perikatan Penyakit Mental Kebangsaan.
Tetapi pada pagi 10 Disember 1996, saya terbangun
lantas mendapati bahawa saya mengalami gangguan otak saya sendiri.
Saluran darah pecah di sebelah kiri otak saya.
Dan dalam masa empat jam,
saya perhatikan otak saya merosot terus keupayaan untuk
memproses semua maklumat. Pada pagi kejadian perdarahan otak itu,
saya tidak dapat berjalan, bercakap, membaca, menulis, atau mengingat apa-apa tentang hidup saya.
Pokoknya saya menjadi seorang bayi dalam badan seorang wanita.
Jika anda pernah melihat otak manusia,
ketara sekali bahawa dua hemisferanya terpisah di antara satu sama lain.
Dan sini saya membawa otak manusia sebenar.
Jadi ini otak manusia yang sebenar.
Ini bahagian depan otak,
bahagian belakang otak dengan saraf tunjang yang terjuntai,
dan beginilah kedudukannya dalam kepala saya.
Apabila anda melihat otak, ia ketara bahawa
dua bahagian ini terpisah di antara satu sama lain.
Bagi anda yang memahami komputer,
otak sebelah kanan berfungsi seperti pemproses selari,
dan otak sebelah kiri berfungsi seperti pemproses bersiri.
Kedua-dua belah otak berhubung sesama sendiri
melalui korpus kolosum,
yang terdiri daripada lebih 300 juta fiber akson.
Tetapi selain daripada itu,
kedua-dua belah otak ini adalah berasingan sama sekali.
Kerana ia memproses maklumat dengan cara berlainan,
setiap belah otak berfikir tentang perkara berlainan,
ia mempedulikan perkara berlainan, dan berani saya katakan,
bahawa ia memiliki personaliti yang berlainan.
Minta maaf. Terima kasih. Ini sangat menyeronokkan. (Pembantu: Ya, betul)
Otak sebelah kanan kita selalu memikirkan tentang waktu sekarang.
Semuanya tentang "di sini, sekarang ini."
Otak sebelah kanan berfikir dengan gambaran
dan mempelajari secara kinestetik melalui pergerakan badan kita.
Maklumat, dalam bentuk tenaga, mengalir secara serentak
melalui semua sistem deria kita.
dan kemudian ia meletus menjadi gabungan gambar
tentang bagaimana bentuk rupa waktu sekarang ini,
bagaimana sekarang ini diamati melalui deria bau dan rasa,
bagaimana rasanya dan bunyinya.
Saya suatu kewujudan daripada tenaga yang berhubung dengan tenaga di keliling saya
melalui kesedaran otak kanan saya.
Kita adalah ciptaan tenaga yang berhubungan antara satu sama lain
melalui kesedaran otak kanan kita sebagai satu keluarga manusia.
dan di sini,
sekarang ini, kita semua adik-beradik di bumi ini,
ada di sini untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.
Dan pada waktu ini, kita semua sempurna, bersatu dan indah.
Otak kiri saya -- Otak kiri kita semua -- adalah tempat yang amat berlainan.
Otak kiri kita befikir secara linear dan teratur.
Otak kiri kita
semuanya berkenaan masa silam dan masa depan.
Otak kiri kita dibentuk untuk mengambil
maklumat yang begitu banyak tentang masa kini dan mula
mengambil butir terperinci dan tambah lagi perincian tentang butir itu.
Kemudian ia mengkategorikan dan
menyusunkan semua maklumat itu, hubungkaitkan ia
dengan semua yang pernah dipelajari sebelum ini, dan
merancangkan segala kemungkinan pada masa depan kita.
Otak kiri kita berfikir dalam bentuk bahasa.
Itulah pertuturan dalam otak yang menghubungkan saya dan
dunia dalaman saya dengan dunia luar.
Ia adalah suara kecil yang mengatakan kepada saya, "Hei, kau perlu ingat
untuk membeli pisang bila pulang ke rumah.
Aku perlukannya waktu pagi nanti."
Ia adalah kebijaksanaan yang mengingatkan saya
bila saya perlu mencuci pakaian. Tetapi mungkin yang paling penting,
ia adalah suara kecil yang mengatakan kepada saya,
"Ini saya." Sejurus saja otak kiri saya berkata "Ini saya,"
Saya menjadi berasingan.
Saya menjadi seorang individu, yang terasing daripada aliran tenaga
di sekeliling saya, dan terasing daripada anda semua.
Dan inilah bahagian otak saya yang telah hilang
pada pagi kejadian strok saya.
Pada pagi kejadian strok itu, saya terbangun dengan
rasa sakit di belakang mata kiri saya. Dan rasa sakitnya seperti --
kesakitan yang pedih -- yang dirasai apabila
menggigit aiskrim. Dan ia mencengkam --
dan kemudian melepaskan saya. Kemudian ia mencengkam --
dan kemudian melepaskan saya. Dan terasa sangat ganjil
bagi saya merasai apa saja jenis kesakitan,
jadi saya fikir, OK, saya teruskan saja rutin seperti biasa.
Jadi saya bangun dan naik ke atas alat senaman saya,
iaitu sebuah mesin senaman sepenuh badan.
Saya pun bersenam dengan alat ini dan saya sedari
bahawa tangan saya menyerupai tangan cakar yang menggenggam
batang besi itu. Saya berfikir, "Peliknya."
Saya melihat badan saya dan berfikir,
"Aku nampak pelik." Dan seolah-olah
kesedaran saya telah beralih daripada persepsi
normal saya tentang realiti, di mana saya yang berada di atas
mesin sedang mengalaminya, ke ruang yang lain
di mana saya memerhatikan diri saya mengalami semuanya ini.
Semuanya begitu ganjil, dan sakit kepala saya
makin teruk. Jadi saya turun dari mesin itu,
dan saya berjalan merentasi ruang tamu, dan saya
menyedari bahawa kesemua di dalam badan saya
bertambah perlahan. Dan setiap langkah begitu kaku dan
amat perlahan. Pergerakan saya tidak lancar,
dan ada kekangan pada ruang pemerhatian saya,
jadi saya menumpukan pada sistem dalaman saya saja.
Saya berdiri di bilik mandi, bersedia untuk
melangkah ke dalam pancuran air, dan saya boleh mendengar
dialog dalam badan saya. Saya mendengar suara kecil
berkata, "OK. Otot sana, kamu perlu mengecut.
Otot sana, kamu mengendur."
Kemudian saya hilang imbangan lalu tersandar pada dinding.
Saya tunduk melihat lengan saya dan menyedari
bahawa saya tidak lagi dapat menentukan batasan badan saya.
Saya tidak dapat menentukan pangkal dan hujung diri saya,
kerana atom dan molekul lengan saya
bercantum dengan atom dan molekul dinding.
Apa yang dapat saya kesan hanyalah tenaga ini -- tenaga.
Saya bertanya pada diri sendiri, "Kenapa dengan saya ini?
Apakah yang sedang terjadi?" Dan pada detik itu, pertuturan otak saya --
otak kiri saya -- menjadi senyap.
Seperti seorang mengambil alat kawalan jauh
dan menekan butang miut (tidak bersuara). Sunyi langsung.
Pada mulanya saya terkejut dengan keadaan diri saya yang berada
dalam minda yang sunyi. Tetapi saya terus
tertawan dengan keindahan tenaga di sekeliling saya.
Oleh kerana saya tidak lagi dapat mengenal pasti
batasan badan saya, saya terasa besar dan luas.
Saya merasa diri ini bersatu dengan semua tenaga yang ada,
dan ia sangat indah di sana.
Kemudian dengan tiba-tiba otak kiri saya kembali
berhubung, dan mengatakan kepada saya, "Hei! Kita ada masalah!
Kita ada masalah! Kita perlu mendapatkan pertolongan."
Dan saya pun berkata, "Ahh! Saya ada masalah.
Saya ada masalah." Jadi macam, "OK. OK. Saya ada masalah."
Tetapi kemudian saya terus hanyut kembali
ke luar sedar -- dan saya dengan mesranya
memanggil ruang ini sebagai La La Land.
Ia sangat indah di sana. Bayangkan apakah rasanya
apabila terputus hubungan dengan pertuturan
otak yang menghubungkan anda dengan dunia luar.
Jadi saya berada di ruang ini, dan kerja saya -- dan apa jua
stres berkaitan dengan pekerjaan itu -- telah lenyap.
Saya berasa badan lebih ringan. Dan bayangkan:
semua hubungan dengan dunia luar dan apa jua
penyebab tekanan berkaitan dengan semuanya itu -- telah lenyap.
Saya berasa begitu tenang sekali.
Bayangkan apa rasanya untuk melenyapkan tekanan emosi yang terkumpul 37 tahun!
(Ketawa) Oh! Saya berasa sangat gembira.
Perasaan gembira. Ia sangat indah.
Kemudian, sekali lagi, otak kiri saya kembali berhubung dan berkata,
"Hei! Kamu perlu ambil perhatian.
Kita perlu dapatkan pertolongan." Saya pun terfikir, "Aku perlu minta pertolongan.
Aku perlu beri tumpuan."
Jadi saya keluar dari bilik mandi dan saya
berpakaian dan berjalan di sekeliling apartment saya,
dan saya berfikir, "Saya perlu ke tempat kerja.
Dapatkah saya memandu?"
Pada detik itu pun lengan kanan saya menjadi
lumpuh sepenuhnya. Kemudian saya tersedar,
"Alamak! Saya terkena strok! Saya mengalami strok!"
Dan seterusnya otak berkata kepada saya, "Wow!
Ini sangat menyeronokkan." (Ketawa)
Berapa ramai ahli sains yang berpeluang
untuk mengkaji otak mereka dari luar dalam?"
(Ketawa)
Kemudian terlintas dalam fikiran saya: "Tapi aku ini sangat sibuk!"
(Ketawa) "Aku tidak ada masa untuk strok!"
Jadi saya pun berkata, "OK, aku tidak dapat menghalang strok ini daripada terjadi,
jadi aku akan biarkan ia selama seminggu dua, dan
kemudian aku akan kembali ke rutin lama. OK.
Aku perlu minta pertolongan. Aku perlu telefon tempat kerja."
Saya tidak ingat nombor telefon di tempat kerja,
saya teringat, dalam ofis saya ada kad nama
yang tertulis nombor telefon saya. Jadi saya ke bilik kerja saya,
saya keluarkan timbunan kad nama setebal 3 inci.
Saya melihat kad yang di atas dan walaupun
saya dapat melihat dengan jelas dalam mata minda bagaimana bentuk kad nama saya,
saya tidak dapat mengenal pasti jika ini
ialah kad saya atau bukan, kerana semua yang saya nampak hanyalah piksel.
Semua piksel perkataan itu bercantum
dengan piksel latar belakang dan piksel simbol,
dan saya tidak dapat mengenal pasti.
Kemudian saya menunggu apa yang saya panggilkan gelombang kejelasan.
Dan pada waktu itu, barulah saya boleh
menyambung semula kepada realiti biasa, dan saya boleh mengenal pasti
bukan kad itu... bukan kad itu... bukan kad itu.
Saya ambil masa 45 minit untuk mencapai satu inci
ke dalam timbunan kad itu.
Sementara itu, selama 45 minit, perdarahan
menjadi makin besar di dalam otak kiri saya.
Saya tidak memahami nombor mahupun telefon,
tapi itu saja rancangan yang saya ada.
Jadi saya ambil telefon dan letakkan di sini. Saya ambil kad bisnes itu,
saya letakkan di sini, dan
Saya padankan bentuk tulisan pada kad
kepada bentuk tulisan pada pad telefon.
Tapi kemudian saya akan hanyut kembali ke La La Land,
dan tidak ingat apabila sedar semula, sama ada saya sudah
menekan nombor tersebut.
Jadi saya terpaksa mengangkat tangan lumpuh saya seperti batang kayu
dan menutup nombor semasa saya bergerak dan menekannya
supaya apabila saya kembali ke realiti
normal, saya boleh tahu, "Ya, aku sudah menekan nombor itu."
Akhirnya, semua nombor telah ditekan
dan saya mendengar telefon, dan
rakan sekerja saya mengangkat telefon lalu berkata kepada saya,
"Woo woo woo woo." (Ketawa) Dan saya terfikir sendiri,
"Alamak, bunyinya macam anjing golden retriever!"
Dan saya pun berkata kepadanya -- jelas dalam minda saya, saya berkata:
"Ini Jill! Saya perlu pertolongan!"
Dan apa yang keluar dari suara saya ialah, "Woo woo woo woo woo."
Saya berfikir, "Alamak, aku juga berbunyi macam anjing."
Jadi saya tidak dapat tahu -- saya tidak tahu pun yang
saya tidak dapat bercakap atau memahami bahasa sehinggalah saya mencuba.
Dia sedari bahawa saya perlukan pertolongan, dan dia dapatkan pertolongan itu.
Tidak lama kemudian, saya menaiki sebuah
ambulans dari satu hospital merentasi Boston ke Hospital Besar [Massachussets].
Saya berlingkar seperti bola.
Seperti belon yang mengempis, udara terakhir
baru saja keluar daripada belon itu,
saya terasa tenaga saya terapung -- dan merasa jiwa saya menyerah.
Pada detik itu, saya mengetahui bahawa saya
bukan lagi perancang hidup saya.
Sama ada doktor menyelamatkan badan saya dan memberi saya satu
lagi peluang untuk hidup, atau ini mungkin
detik peralihan saya.
Bila saya bangun pada lewat petang hari itu, saya terkejut
apabila mendapati saya masih hidup. Bila saya merasa jiwa saya menyerah diri,
saya telah mengucapkan selamat tinggal kepada hidup saya.
Dan minda saya sekarang terapung antara dua
ruang realiti yang sangat berlawanan. Stimulasi yang datang
melalui sistem deria saya terasa sakit semata-mata.
Cahaya membakar otak saya dengan begitu pantas, dan bunyi-bunyian
begitu kuat dan bising sehingga saya tidak dapat mengecam
suara daripada bunyi latar belakang,
dan saya hanya mahu melepaskan diri. Kerana saya tidak dapat mengenal pasti
kedudukan badan saya, saya terasa besar dan luas,
seperti jin yang baru dibebaskan dari botolnya.
Dan ruh saya terbang bebas, seperti seekor ikan paus
merenangi lautan gembira yang sunyi sepi.
Nirwana. Saya temui Nirwana. Dan saya teringat berfikir
tidak mungkin aku boleh mengasakkan
diriku yang besar ini kembali ke dalam badan kecil ini.
Tetapi saya sedar, "Tetapi saya masih hidup! Saya masih hidup,
dan saya telah temui Nirwana. Dan jika saya dapat
menemui Nirwana dan saya masih hidup, jadi semua orang
yang masih hidup boleh menemui Nirvana." Dan saya membayangkan sebuah dunia
penuh dengan orang yang cantik, tenang, mengasihi
dan menyayangi, orang yang mengetahui bahawa mereka boleh datang
ke ruang ini pada bila-bila masa. Dan mereka boleh
dengan sengaja memilih untuk melangkah ke kanan
dari otak kiri mereka dan mencapai ketenangan ini. Dan kemudian
saya sedari bahawa pengalaman strok ini boleh menjadi
satu rahmat, ia boleh menjadi suatu wawasan
tentang bagaimana kita jalani hidup kita. Ia telah memberi rangsangan untuk saya sembuh.
Dua minggu setengah selepas perdarahan otak itu,
ahli-ahli bedah telah membuang darah beku
sebesar bola golf yang menekan pusat bahasa dalam otak saya.
Sini saya bersama ibu saya,
dialah bidadari dalam hidup saya. Saya mengambil masa lapan tahun untuk sembuh sepenuhnya.
Jadi siapakah kita? Kita adalah kuasa tenaga kehidupan di alam semesta,
dengan ketangkasan bekerja dan dua minda kognitif.
Dan kita ada kuasa untuk memilih, detik demi detik,
siapa diri kita dan bagaimana kita hadapi dunia ini.
Di sini, sekarang, saya boleh melangkah ke dalam
kesedaran dalam otak kanan saya, di mana kita berada.
Saya menjadi kuasa tenaga kehidupan alam semesta.
Saya adalah kuasa tenaga kehidupan daripada 50 trilion
molekul genius yang cantik, yang membentuk diri ini, bersatu dengan semua yang ada.
Atau, saya boleh memilih untuk melangkah ke dalam kesedaran
otak kiri saya, di mana saya menjadi satu individu,
sesuatu yang kukuh. Berasingan daripada aliran,
berasingan dari anda. Saya Dr. Jill Bolte Taylor:
intelektual, ahli neuroanatomi. Ini adalah "kami" dalam diri saya.
Mana satu yang mahu dipilih? Mana satu yang akan dipilih? Dan bila?
Saya percaya bahawa lebih banyak masa kita gunakan
untuk mengendalikan litar ketenangan dalaman
otak kanan kita, lebih banyak ketenangan kita boleh
pancarkan ke dalam dunia, dan dunia kita boleh menjadi lebih aman damai.
Dan saya fikir itu adalah satu idea yang wajar disebarkan.